Gangguan
seksual punca kemurungan kanak-kanak
Oleh RABIATUL ADAWIYAH
KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Sejak akhir-akhir ini, golongan kanak-kanak
lebih cenderung menjadi mangsa gangguan seksual. Boleh dikatakan sejak beberapa
bulan lalu ada saja kes jenayah seksual.Bayangkan anak-anak kita sedang bermain
dengan ceria bersama rakan-rakannya pada minggu lepas, tiba-tiba mengalami
kemurungan pada hari ini. Bagi ibu bapa yang kurang peka, perubahan anak-anak
mereka tidak langsung menjadi tanda tanya.
Senario ini perlu diubah dan keluarga
kanak-kanak mesti memerhatikan tingkah laku anak mereka jika ada sebarang
perubahan. Ini kerana kanak-kanak adalah insan yang perlu dilindungi daripada
segala bentuk kekerasan atau keganasan yang memudaratkan fizikal, mental dan
emosinya.
Golongan ini perlu sentiasa diawasi agar tidak
terbabit dalam sebarang bentuk penindasan, penganiayaan dan kezaliman seperti
kekerasan fizikal, penderaan seksual dan pembunuhan.
Segala bentuk keperluan mental, fizikal dan
spiritual kanak-kanak perlu diberi perhatian sewajarnya. Dalam konteks
masyarakat pula kanak-kanak memerlukan perlindungan undang-undang dan
keprihatinan masyarakat dalam membendung dan mencegah sebarang bentuk perlakuan
jenayah ke atas kanak-kanak.
Apa yang dimaksudkan gangguan seksual kanak-kanak?
Pensyarah di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti
Malaya (UM), Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, gangguan seksual
kanak-kanak didefinisikan perlakuan individu iaitu pemangsa memaksa atau cuba
mempengaruhi serta mengugut mangsa sama ada melakukan hubungan seksual atau
gangguan seksual banyak cara termasuk memasukkan objek dalam mulut, tubuh,
dubur dan kesakitan fizikal.
Dr. Mariani memberitahu, perbuatan mengusap-usap
kadang-kadang mengelirukan kanak-kanak kerana mereka menganggap itu sentuhan
sayang.
"Dalam kes ini, pelaku akan memujuk mangsa.
Misalnya memaksa mangsa menanggal baju atau melakukan seks oral. Oleh itu,
kanak-kanak perlukan bimbingan kerana perbuatan tersebut bukan perkara normal. Perlu
diingat, perkara ini boleh menjadi serius hingga menyebabkan gangguan emosi
mereka dan mengakibatkan kemurungan," katanya.
Dr. Mariani menjelaskan, kanak-kanak sering
menjadi mangsa gangguan seksual kerana pada peringkat umur ini, mereka mudah
menerima keputusan orang dewasa seperti pemangsa.
Berbeza
dengan remaja, mereka ada persetujuan dengan orang yang di sekeliling mereka.
"Ugutan
mengakibatkan kanak-kanak keliru walaupun perbuatan itu salah. Tanpa bertanya
kenapa atau apa, mereka akan menurut kata pemangsa," jelasnya.
Di
sebalik kejadian ini, kanak-kanak akan meninggalkan ingatan atau kenangan dalam
memori mereka apabila dewasa kelak. Terdapat tiga peringkat umur kanak-kanak
iaitu awal (empat tahun ke bawah), pertengahan (empat hingga tujuh tahun) dan
lewat kanak-kanak (tujuh hingga 11 tahun).
"Bawah
empat tahun, kanak-kanak biasa mengalami emosi dan perasaan tidak stabil.
Selain itu, fizikal juga tidak sesuai untuk menjalinkan hubungan seks kerana
fizikal masih lagi kecil.Penderaan seks juga aka mengakibatkan sakit seperti
koyakan di alat sulit.Peristiwa ini akan meninggalkan kesan perasaan seperti
takut kepada kanak-kanak tersebut," jelasnya.
Bahkan,
perbuatan berulang mengakibatkan kanak-kanak menjadi trauma. Kes seperti ini
akan membantutkan perhubungan sosial iaitu kanak-kanak yang ceria bertukar
menjadi takut.
"Hubungan
dengan kanak-kanak sebaya turut terjejas termasuk pemikiran dan menjadikan
perkembangan menjadi tidak normal kerana tidak sama dengan kanak-kanak lain
yang tidak mengalami gangguan seperti mereka.Ia memberi kesan dari segi
perasaan dan emosi untuk jangka masa panjang dan pendek," ujarnya.
Mengulas
kejadian bayi dicabul di Bandar Baru Sentul baru-baru ini, Dr. Mariani
memberitahu, kanak-kanak bawah umur setahun juga mengalami kesan psikologi yang
sama.
Kanak-kanak
peringkat umur ini masih tidak fasih berbahasa dan kebanyakan gangguan seks
yang berlaku dilakukan oleh keluarga dan kenalan terdekat.
"Bagi
bayi, perbuatan dera seksual seperti perbuatan normal kerana mereka tidak memahami
perkara di sekeliling mereka. Di sinilah peranan ibu bapa amat penting.
Jika
anak menangis dan tidak selesa, demam, mereka perlu membuat pemeriksaan lanjut
seperti berjumpa dengan doktor selain memerhati perubahan kelakuan perlakuan
anak," ujarnya.
Tambah
Dr. Mariani, kanak-kanak bawah satu tahun tidak tahu yang mana salah dan benar.
Malah,
kanak-kanak setahun ke atas sama ada lelaki dan perempuan juga perlu dididik
bahawa alat sulit tidak boleh dipegang oleh kecuali ibu bapa. Maka, di sinilah
kebijaksanaan ibu itu sendiri perlu dan prihatin terhadap perkembangan
anak-anak mereka.
Secara
keseluruhannya, kanak-kanak yang mengalami gangguan seksual akan mendapat kesan
psikologi termasuk kemurungan.
"Lama-kelamaan
ia akan mengakibatkan kendiri kanak-kanak menjadi rendah.
Misalnya,
tidak dapat bergaul seperti kanak-kanak lain. Ia juga memberi kesan dari segi
pencapaian akademik," jelasnya.
Justeru
itu, ibu bapa jiran dan masyarakat perlu peka terhadap perkara di sekeliling
mereka. Jika perkara ini terjadi di kalangan ahli keluarga, mereka perlu tahu
saluran mana nak pergi dulu.
Hakikatnya
pada hari ini, kebanyakan ibu bapa sentiasa malu untuk mendedahkan perkara
sebenar.
"Antara
saluran yang boleh digunakan termasuk pertubuhan wanita, tele dera atau pusat
krisis wanita untuk mengadu kes penderaan seksual. Selain itu, ibu bapa perlu
bertenang dan jangan panik," katanya.
Dalam
konteks ini, mangsa memerlukan sokongan keluarga. Lebih malang, ibu bapa
kadang-kadang tidak mempercayai anak-anak apabila mereka mengadu. Contohnya,
apabila anak mereka memberitahu bahagian alat sulit mereka sakit, ibu bapa
tidak mempercayai aduan tersebut.
"Jika gangguan seksual dialami oleh
keluarga, mereka perlu sentiasa memberi sokongan walaupun ibu bapa sibuk
bekerja. Masyarakat perlu tahu kanak-kanak merupakan golongan yang keliru
dengan perasaan, mudah dipengaruhi dan tidak tahu apa nak dibuat.
Kita perlu membantu supaya kanak-kanak ini kelak
lebih berterus terang dan berani," jelasnya.
Bagi menaikkan semula motivasi mangsa, keluarga
perlu menyampaikan perasaan simpati menerusi sokongan.
Laporan polis juga perlu dibuat dan masyarakat
perlu tahu perkara ini bukan sesuatu yang memalukan.
"Ibu bapa perlu ingat tindakan tersebut
dapat menyelamatkan orang lain. Kes penderaan seksual yang terjadi dapat
dijadikan pengajaran dalam masyarakat," katanya.