Gangguan
emosi perlu ditangani
TAN SRI LEE
LAM THYE ialah Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental.
KEBELAKANGAN ini, terdapat beberapa kejadian bunuh diri
berlaku termasuk dalam kalangan murid sekolah. Walau apa pun puncanya, ia
berkaitan dengan masalah emosi atau gangguan terhadap kesihatan mental individu
terbabit.
Ini menunjukkan terdapat keperluan mendesak kerajaan dan
lain-lain pihak berkaitan untuk meningkatkan usaha mempromosi kesihatan mental
yang baik kepada rakyat termasuk murid-murid dan warga sekolah.
Apa yang menyedihkan, ramai yang tidak mengambil serius
perkara ini atau kurang prihatin bagaimana untuk bertindak apabila berhadapan
dengan mereka yang menunjukkan kecenderungan membunuh diri atau pun yang
mengalami kemurungan.
Masalah kesihatan mental terutamanya berkait dengan stress yang
tidak dapat ditangani adalah serius dan perlu diberi perhatian supaya gangguan
seperti kemurungan atau depression dan cubaan bunuh diri dapat
dielakkan.
Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan Malaysia pada 2006
menunjukkan masalah kesihatan mental di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah
20.3 peratus (%) dan ini menunjukkan peningkatan berbanding 13% pada 1996.
Dengan bilangan remaja yang mengalami masalah ini meningkat,
pada Januari 2011, Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Kementerian
Kesihatan yang dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan memutuskan supaya satu
projek perintis Program Minda Sihat Menangani Stres dilaksanakan di enam buah
sekolah menengah di seluruh Malaysia.
Program dengan kerjasama Kementerian Pelajaran ini akan
mengenalpasti status kesihatan mental murid-murid sekolah melalui saringan
tahap stress, keresahan dan kemurungan. Mereka yang dikenalpasti mempunyai
masalah ini, akan diberi intervensi sewajarnya termasuk kaunseling dan
kemahiran daya tindak kesihatan mental (mental health coping skills).
Antara aktiviti promosi kesihatan mental yang boleh
dilaksanakan di sekolah termasuk mengenali lebih dekat tentang kesihatan mental
di dalam komuniti sekolah melalui ceramah, pameran dan kuiz yang boleh
dijadikan aktiviti kokurikulum serta melibatkan PIBG dan kelab sekolah.
Sekolah perlu mempunyai lebih ramai kaunselor yang terlatih
dengan kemahiran untuk membimbing dan membantu pelajar untuk menguruskan stres.
Kita tidak boleh menafikan bahawa sistem pendidikan
berorientasikan peperiksaan telah menambah tekanan kepada ibu bapa dalam
mengharapkan anak-anak menunjukkan prestasi yang baik di sekolah.
Walaupun ibu bapa mengatakan bahawa mereka tidak memberi
tekanan tersebut, namun anak-anak tahu harapan tinggi itu terhadap mereka.
Apabila gagal memenuhinya, kesannya akan memudaratkan mereka.
Kita perlu memupuk keyakinan diri anak-anak agar sebarang
kegagalan atau kekecewaan dilihat sebagai suatu peluang untuk mencuba semula
daripada menjadikannya suatu kekurangan dan akhirnya menyebabkan mereka memilih
jalan mudah untuk keluar dari masalah tersebut.
Sumber rujukan http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm
0 comments:
Post a Comment